Thursday 10 November 2011

Takbir Malam Hari Raya Korban






Pada 5 November 2011 yang lalu bersempena sambutan Hari Raya Aidil Adha 1423 Hijrah, satu majlis takbir dari rumah ke rumah di kejiranan Seksyen 2A Antara Gapi telah pun berlangsung. Majlis tersebut adalah anjuran PERSAGA yang diketuai oleh Biro Hal-Ehwal Kerohanian dan Insaniah, En. Mazlan bin Samah bertujuan untuk mengeratkan hubungan persaudaraan di kalangan penduduk setempat.


Majlis tersebut dimulai dengan jemaah berkumpul di rumah En. Zaril Faizal pada jam 9.00 malam. Suasana malam yang tenang dan harmoni dipecahkan dengan kemerduan dan keasyikan suara-suara hamba Allah mengalunkan takbir memuji kebesaran-Nya yang dipimpin oleh En. Mazlan Samah.

Takbir di rumah En. Zaril Faizal.

Setelah selesai menjamu hidangan yang disediakan oleh pihak tuan rumah, jemaah seterusnya melangkah ke rumah kediaman En. Asmadi Harizan. Malam yang indah ini diteruskan dengan alunan takbir yang mendamaikan hati sesiapa yang mendengarnya. Terima kasih ditujukan kepada tuah rumah yang telah menyediakan hidangan kuih-muih yang sangat lazat dan menyelerakan. Hanya Allah sahaja yang mampu untuk membalas setiap kebaikan umat-Nya.

Takbir di rumah En. Asmadi.

Majlis diteruskan dengan kunjungan ke rumah En. Jalal pula. Alunan takbir bergema lagi di kawasan Seksyen 2A Antara Gapi ini memuji-muji kebesaran-Nya. Karipap pusing dengan inti lazat menjadi hidangan utama tuan rumah. Inilah kelebihan yang ada pada setiap individu Seksyen 2A Antara Gapi yang tidak pernah berkira dalam menyediakan hidangan untuk tetamunya.

Takbir di rumah En. Jalal

Jemaah kini berkunjung pula ke rumah yang keempat iaitu kediaman En. Azham Afdhan bagi meneruskan majlis. Setelah selesai bertakbir mengangkat keagungan Ilahi, para jemaah dijamu dengan hidangan lempeng berlauk yang pastinya membuka selera sesiapa yang melihatnya.

Takbir di rumah En. Azham Afdhan.

Kunjungan yang seterusnya adalah di kediaman En. Zainal Muningin, salah seorang daripada imam Surau Al-Muttaqin Antara Gapi. Sesungguhnya dapat berkunjung ke rumah imam merupakan satu penghormatan buat seluruh jemaah yang turut serta. Kami semua yang hadir amat bertuah kerana dijamu dengan pizza yang dibuat sendiri oleh anakanda En. Zainal sendiri yang pastinya membuat orang terpukau apabila merasainya.

Takbir di rumah En. Zainal.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Wallilailham! Laungan yang saban tahun kita dengari dua kali dalam setahun iaitu pada Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha mengingkatkan kita betapa besarnya nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada kita semua. Terima kasih kepada En. Khalil kerana telah sudi menjemput jemaah untuk bersama-sama mengimarahkan malam yang penuh keberkatan ini dengan alunan memuji Allah s.w.t. Tidak lupa juga hidangan bihun sup yang sangat sedap memikat selera setiap tetamu yang hadir. 

Takbir di rumah En. Khalil.

Alhamdulillah, akhirnya jemaah mengakhiri kunjungannya di teratak kediaman En. Ab. Rahim, Naib Pengerusi PERSAGA yang dikasihi. Takbir selagi lagi bergema buat kali terakhir untuk malam tersebut sebelum dijamu dengan lemang dan ketupat yang pastinya tidak boleh ditolak oleh para jemaah.

Takbir di rumah En. Ab. Rahim.

Sekalung penghargaan ditujukan buat En. Mazlan Samah selaku Ketua Biro Hal-Ehwal Kerohanian dan Insaniah yang telah bertungkus-lumus menganjurkan aktiviti yang sangat baik dan mulia ini. Tidak lupa juga kepada semua jemaah yang sanggup mengorbankan masa mereka bersama-sama menegakkan syiar Islam. Menjadi harapan pihak PERSAGA supaya program-program yang sebegini diteruskan bagi meneruskan kesinambungan persaudaraan sesama Islam dapat dikekalkan  dan mengelakkan sebarang persengketaan umat.

Ayuh warga Seksyen 2A! Lupakan sengketa lama dan bersatu-padulah kita semua demi kepentingan syiar Islam. Tiada ruginya kita bersatu kerana amatlah rugi jika kita semua berpecah-belah. Wassalam.

Biro Penerbitan dan Perhubungan Awam
PERSAGA  10 Nov 2011.

No comments:

Post a Comment


Search This Blog

PANORAMA ANTARA GAPI

Perumahan Antara Gapi, Serendah merupakan satu kawasan yang berkonsepkan panorama alam tropika, satu konsep 'hijau' yang diketengahkan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam memelihara alam sekitar. Koleksi foto dibawah ini menggambarkan senario yang indah dan damai di Antara Gapi ini.

KOLEKSI TERBITAN PERSAGA

Untuk makluman para penonton dan warga Seksyen 2A khususnya, mulai pada 29 Julai 2011, semua episod-episod terbitan PERSAGA yang telah berlalu akan dimuatkan di dalam ruangan KOLEKSI TERBITAN PERSAGA ini.

Kepada sesiapa yang ingin mengulangtayang bolehlah memilih siaran yang hendak ditonton dengan meng'klik' pada klip video yang betul di bawah ini.

Pos Yang Terhangat