Sunday 17 July 2011

Gotong Royong Perdana Anjuran PERSAGA

Pada 16 Julai 2011 yang lepas, satu lembaran bersejarah telah tercipta bagi PERSAGA atau Persatuan Penduduk Seksyen 2A Antara Gapi di dalam usianya yang masih lagi hijau. Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada PERSAGA yang telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana julung kali dengan jayanya.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Y. Bhg. Datuk Mohd. Isa bin Abu Kasim (Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali). Turut hadir pada program itu adalah Ketua Cawangan UMNO Antara Gapi, En. Daud bin Ismail dan wakil daripada Persatuan Penduduk Antara Gapi.


Seawal jam 7.00 pagi, warga kerja PERSAGA sudah mula turun padang bagi membuat persiapan untuk menyambut kehadiran Y.Bhg. Datuk Mohd. Isa bin Abu Kasim serta pihak-pihak lain bagi merasmikan program Gotong- Royong Perdana serta pelancaran laman blog pps2antaragapi.blogspot.com.


Kakitangan PERSAGA (dari kiri) En. Salleh, En. Yunus (Penyelaras Keselamatan dan lalulintas majlis perasmian) dan En. Zaril bersiap sedia menunggu ketibaan Y. Bhg. Datuk Mohd. Isa bin Abdu Kasim

Tetamu yang hadir disambut oleh En. Asmadi (kanan), individu yang bertanggungjawab dalam melancarkan sistem siaraya di sepanjang majlis berlangsung.

Pak Din sedang berbincang mengenai laluan YB menuju ke tapak perasmian.

Ketua chef, En. Hamzah Hamdan bertanggungjawab dalam memastikan hadirin tidak pulang dengan perut kosong!

Kipas yang digunakan untuk "mengipas" Y. Bhg. Datuk Mohd. Isa bin Abu Kasim.

Permata indah dari Seksyen 2A, Pn. Nor Liza dan Pn. Saadiah adalah nadi penting dalam menyediakan juadah.

Apa yang dimenungkan tu? En. Rauf sedang menunggu pinggan mangkuk yang hendak dicuci.


Atas semangat kerjasama yang telah diberikan oleh semua ahli Jawatankuasa serta pihak yang terlibat samada secara langsung dan tidak langsung, akhirnya segala aktiviti yang  telah dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya bak kata pepatah "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Perlu diingat, untuk membina sesuatu yang baik memang sukar tapi untuk meruntuhnya boleh dilakukan dengan sekelip mata sahaja.


En. Ab. Rahim meyambut ketibaan tetamu dari Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Selangor.

En. Zainal Abidin dan beberapa warga Seksyen 2A turut membantu dalam melancarkan perjalanan majlis.

Di majlis perasmian tersebut, pihak Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Selangor telah menghantar wakil mereka untuk mengelolakan Kem Kesihatan dengan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada orang ramai yang hadir. Pihak Majlis Daerah Hulu Selangor juga telah menyediakan kaunter bayaran Cukai Pintu, pameran dan khidmat nasihat percuma mengenai bahaya penyakit demam denggi. Orang ramai memang tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh badan-badan kerajaan ini yang senantiasa memberikan kerjasama yang mantap dan jitu. Syabas buat tetamu jemputan kita yang memberikan kerjasama serta komitmen yang jitu.

Imam Surau Al-Muttaqin, Tn. Hj. Md. Seri (dua dari kanan) sedang berbual dengan warga kerja PERSAGA. Turut kelihatan adalah Ustaz Shamsul Bahari (Dua dari kiri).

En. Mohd. Iszuan menunggu ketibaan YB.

Sekalung penghargaan juga harus diberikan kepada marsyal-marsyal yang bertanggungjawab dalam memastikan Y. Bhg. Datuk tidak menghadapi kesulitan menuju ke tapak majlis perasmian. Ketibaan Datuk Mohd. Isa di tapak perasmian tepat jam 9.15 pagi itu bersama-sama dengan Ketua Cawangan UMNO Antara Gapi iaitu En. Daud bin Ismail disambut meriah oleh Pengerusi PERSAGA iaitu Tn. Hj. Din bin Che Lah, tetamu yang hadir dan warga Seksyen 2A Antara Gapi.


Para petugas yang senantiasa memastikan kelancaran majlis.

En. Adzham dan En. Mazlan memastikan trafik berjalan dengan lancar.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Shamsul Bahari bin Dahalan yang sejak dari awal pagi sudah tiba di tapak program.


Ucapan aluan daripada Pengerusi PERSAGA.

Barisan VIP.

Ucapan aluan telah disampaikan oleh Pengerusi PERSAGA, Tn. Hj. Din bin Che Lah yang menjadi nakhoda kepada kejayaan program pada hari ini. Tn. Hj. Din merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Y. Bhg. Datuk diatas kesudian beliau untuk hadir pada majlis ini dan semua hadirin yang memeriahkan program gotong-royong ini.




Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Y. Bhg. Datuk Mohd. Isa bin Abu Kasim. Di dalam ucapan tersebut, Y. Bhg. Datuk telah menegur sikap sesetengah penduduk yang hanya tahu meluahkan rasa tidak puas hati tetapi langsung tidak menyumbang kepada kepentingan setempat. Golongan inilah yang perlu dihapuskan supaya penyakit-berjangkit yang dibawa oleh mereka ini tidak menular kepada generasi muda pada masa akan datang.


Perpaduan kaum juga adalah satu agenda yang sentiasa dititikberatkan oleh negara dalam membentuk satu masyarakat yang berbilang kaum tetapi mempunyai satu matlamat iaitu untuk berbakti kepada negara Malaysia yang tercinta ini. Tambahan beliau, perpecahan hanya akan mengundang kepada kelemahan sesuatu organisasi dan lebih buruk lagi ianya berupaya menyebabkan sesuatu komuniti itu musnah.


Bercakap mengenai cabaran, Datuk Mohd. Isa memberikan peringatan yang sangat berguna kepada PERSAGA dimana untuk mencapai kejayaan bukanlah suatu jalan yang mudah untuk dikecapi. Pelbagai bentuk halangan dan rintangan bakal dilalui dalam memperjuangkan sesuatu yang membawa kepada kebaikan bersama.



Tambah beliau lagi, perpaduan yang longgar akan mengakibatkan sesuatu institusi itu goyah dan lebih memburukkan lagi ianya mampu mengundang kepada kejatuhan. Datuk Mohd. Isa mengucapkan tahniah kepada warga kerja PERSAGA dan penduduk Seksyen 2A Antara Gapi kerana telah berjaya menganjurkan satu program yang berupaya mengeratkan lagi hubungan di kalangan penduduk tempatan. Beliau juga memberikan pujian kepada Jawatankuasa PERSAGA yang dilihatnya mempunyai keupayaan yang tinggi dalam pentadbiran, ICT, pengelolaan dan kerjasama berpasukan.


AKhir sekali, beliau amat berharap agar PERSAGA menjadi satu organisasi yang mantap dan utuh di masa hadapan seiring dengan kemajuan yang dikecapi oleh negara Malaysia pada masa kini. Datuk Mohd. Isa juga telah mengumumkan untuk memberikan sumbangan sebanyak RM2000 kepada PERSAGA untuk pembelian kabin kontena bagi tujuan mewujudkan pusat komuniti dan pejabat pentadbiran PERSAGA. Terima kasih YB, semoga Allah sahaja yang dapat membalas ketulusan hati beliau.


Sebelum majlis melabuhkan tirainya, Datuk Mohd. Isa bin Abu Kasim telah menyempurnakan    upacara menanam sebatang anak pokok sebagai simbolik bermulanya acara pada pagi itu serta kenang-kenangan bagi generasi akan datang. Adalah diharapkan semoga hasilnya akan senantiasa manis rasanya sebagai mana manisnya senyuman Y. Bhg. Datuk. Upacara penanaman anak pokok itu juga disempurnakan oleh Pengerusi PERSAGA sendiri dan Ketua Cawangan UMNO Antara Gapi, En. Daud bin Ismail.


Anak pokok yang ditanam oleh Datuk Mohd. Isa bin Abu Kasim.

Pengerusi PERSAGA yang lebih mesra dengan panggilan "Pak Din" turut menanam sebatang anak pokok untuk kenang-kenangan.

Kerja-kerja meratakan tapak pejabat PERSAGA oleh jengkaut.


Sebagai tanda hati daripada PERSAGA, sekeping plak telah dihadiahkan kepada Y. Bhg. Datuk Mohd. Isa bin Abu Kasim bagi tujuan menghargai kehadiran beliau di majlis ini. Cenderahati tersebut disampaikan oleh Pengerusi PERSAGA.


Cenderahati daripada PERSAGA buat YB.


Sekalung penghargaan buat Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Selangor, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal, Majlis Daerah Hulu Selangor dan orang perseorangan yang telah menyumbangkan tenaga dalam memeriahkan majlis ini. Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan buat En. Azli yang telah menyumbangkan 50 helai baju 1 Malaysia, topi dan perkhidmatan jengkaut bagi tujuan meratakan tanah tapak pejabat PERSAGA. Semoga Allah membalas dengan ganjaran pahala yang tidak terhingga kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah menghulurkan sumbangan tidak kira di dalam bentuk apa jua pun secara langsung mahupun tidak langsung. TAHNIAH kepada semua!


Catatan dibuat oleh:
Zaril Faizal bin Zaral Gaffar
Biro Perhubungan Awam dan Penerbitan
17 Julai 2011.

No comments:

Post a Comment


Search This Blog

PANORAMA ANTARA GAPI

Perumahan Antara Gapi, Serendah merupakan satu kawasan yang berkonsepkan panorama alam tropika, satu konsep 'hijau' yang diketengahkan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam memelihara alam sekitar. Koleksi foto dibawah ini menggambarkan senario yang indah dan damai di Antara Gapi ini.

KOLEKSI TERBITAN PERSAGA

Untuk makluman para penonton dan warga Seksyen 2A khususnya, mulai pada 29 Julai 2011, semua episod-episod terbitan PERSAGA yang telah berlalu akan dimuatkan di dalam ruangan KOLEKSI TERBITAN PERSAGA ini.

Kepada sesiapa yang ingin mengulangtayang bolehlah memilih siaran yang hendak ditonton dengan meng'klik' pada klip video yang betul di bawah ini.

Pos Yang Terhangat